JOHOR BAHRU, 10 JUN – TERJUN….. Putus cinta dan masalah kewangan dipercayai menjadi punca seorang lelaki cuba terjun dari bangunan Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ), petang semalam.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Shahurinain Jais, berkata lelaki berusia 31 tahun itu bekerja sebagai pemandu kereta sapu.

Katanya, dalam kejadian kira-kira jam 3.15 petang itu, anggota balai, Balai Polis Bangunan Sultan Iskandar menerima panggilan dari anggota bertugas kawalan Bangunan Sultan Iskandar mengatakan seorang lelaki ceroboh masuk bangunan bahagian bas keluar masuk Malaysia dan sedang cuba terjun ke bawah.

“Kejadian berlaku di Tingkat Empat di Bangunan Sultan Iskandar (BSI).

“Pihak bomba dipanggil untuk membantu menyelamatkan lelaki itu dan dengan kerjasama pihak polis BSI dan bomba sebelum dapat ditenangkan dan diselamatkan pada jam kira-kira 5.05 petang,” katanya.

Shahurinain berkata, menurut lelaki itu, dia cuba membunuh diri akibat putus cinta dan masalah kewangan, selain mengaku ada mengambil dadah jenis syabu.

“Ujian saringan kencing akan dia buat ke atasnya, selain akan direman di mahkamah pada hari esok.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 309 Kanun Keseksaan/7 Akta Kawasan Larangan Dan Tempat Larangan 1959,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Johor Bahru, Pegawai Bomba Tinggi K Karupanan, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 3.35 petang.

Katanya, sejurus selepas itu, pihaknya bersama 17 anggota digerakkan ke lokasi kejadian.

“Pihak bomba cuba memujuk lelaki itu kira-kira 30 minit yang dipercayai cuba membunuh diri .

“Setibanya pasukan Bomba dan Penyelamat di lokasi kejadian didapati benar terdapat seorang mangsa ingin membunuh diri di tingkat empat bangunan setinggi 10 meter,” katanya.

Karupanan berkata, bagaimanapun, pihaknya berjaya memujuk dan membawa turun dalam keadaan yang selamat dengan menggunakan tangga jenis Aerial Ladder Platform (ALP). – WD MY