KLANG, 6 Nov – TEGANG….. Pegawai polis terpaksa melepaskan tembakan amaran apabila sekumpulan lelaki menyerangnya serta beberapa jiran ketika keluar rumah memeriksa satu kemalangan kecil di TamanSri Andalas di sini malam tadi.

Seorang penduduk yang enggan dikenali berkata, beberapa jiran keluar dari rumah masing-masing selepas terdengar bunyi pelanggaran berdekatan taman rekreasi kawasan perumahan itu.

“Selepas dengar bunyi yang kuat, jiran-jiran keluar termasuk seorang pegawai polis dan mendapati sebuah kereta yang dinaiki seorang lelaki dan wanita melanggar sebuah kereta lain yang diletakkan di tepi jalan.

“Saya dimaklumkan oleh jiran bahawa keadaan pada awalnya tenang sahaja tambahan pula pemilik kenderaan yang dilanggar itu tiada di rumah kerana pulang ke kampung,” katanya kepada media ketika ditemui, hari ini.

Beliau berkata, keadaan menjadi tegang apabila tiba-tiba sekumpulan lelaki datang dan memukul pegawai polis serta jiran yang berada di tempat kejadian sehingga pegawai berkenaan terpaksa melepaskan tembakan amaran.

“Saya percaya kumpulan lelaki itu adalah kawan kepada pasangan berkenaan kerana sebelum itu mereka mendakwa menghadiri sebuah majlis yang dianjurkan berdekatan kawasan berkenaan. Secara kebetulan, mereka turut memakai baju T yang sama,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli, berkata empat lelaki dan seorang wanita ditahan berhubung kejadian itu.

Beliau berkata dalam kejadian jam 9.45 malam itu, pegawai polis berkenaan terpaksa melepaskan tembakan untuk mempertahankan diri apabila diserang suspek dan kesemua suspek melarikan diri serta turut melanggar pengadu dan jirannya.

Pengadu dan jirannya cedera di kepala, tangan serta pinggang.

Katanya, polis mendapatkan perintah reman suspek selama tujuh hari bermula hari ini hingga 12 November ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 148 dan 307 Kanun Keseksaan iaitu berhimpun dan merusuh menggunakan senjata dan cubaan membunuh. – WD MY