KOTA BHARU, 9 APRIL – BUNUH…… Satu mayat lelaki dengan kecederaan di kepala, muka dan badan dipercayai dibunuh ditemui penduduk di Kampung Kedondong, Kadok, malam tadi.

Dalam kejadian jam 8.30 malam itu, mayat lelaki berusia awal 30-an itu ditemui di hadapan sebuah rumah tidak berpenghuni.

Mayat kemudian dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) di sini untuk bedah siasat.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kelantan, Asisten Komisioner Wan Khairuddin Wan Idris, berkata sebaik menerima maklumat berhubung kejadian pihaknya bergegas ke lokasi kejadian.

Katanya, pemeriksaan mendapati mangsa yang mengalami kecederaan di kepala, muka dan badan dipercayai dibunuh di lokasi mayat ditemui.

“Berdasarkan siasatan di tempat kejadian, daripada kesan darah yang ditemui, kita percaya kejadian (bunuh) berlaku di tempat mayat ditemui. Tiada senjata ditemui di lokasi kejadian.

“Kita sedang mengumpul bukti dan menyiasat kes mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Sementara itu, salah seorang penduduk yang enggan dikenali berkata, dia terdengar bunyi bising seperti orang bertengkar pada kira-kira jam 7.30 malam tadi di lokasi kejadian.

“Saya melihat ke luar rumah dan mendapati sekumpulan lelaki sedang bertengkar dengan suara yang kuat dan hanya mendengar suara lelaki berkata ‘mung ni.. mung ni…namun tidak nampak jelas.

“Saya tidak mengendahkan keadaan itu sebelum terkejut dengan kehadiran polis tidak lama selepas itu dan dimaklumkan berlaku kejadian bunuh,” katanya. – WD MY