WASHINGTON, 26 Sept – TAHAN….. Lelaki yang memiliki pelbagai senjata api ditahan berhampiran Rumah Putih, awal pagi Ahad lalu, kata Perkhidmatan Rahsia dan Jabatan Polis Metropolitan Washington.

“Lelaki itu ditahan selepas dia mendekati pegawai Perkhidmatan Rahsia yang berpakaian biasa pada satu persimpangan berhampiran Rumah Putih,” kata Perkhidmatan Rahsia dalam satu kenyataan, semalam.

Bagaimanapun, polis Washington dalam kenyataannya, melaporkan versi berbeza terhadap kejadian sama apabila menyatakan yang lelaki terbabit ditahan ketika sedang membuang air kecil di tempat awam.

“Lelaki itu mendakwa ke Rumah Putih untuk bertemu dengan (Laksamana) Mike Rogers dan (Jeneral) Jim Mattis bagi mendapatkan nasihat mereka mengenai masalah gaji dan mengetahui cara untuk mengeluarkan cip di dalam kepalanya,” kata polis.

Namun, pihak berkuasa yang memeriksa kenderaan lelaki terbabit itu yang menggunakan nombor pendaftaran Tennessee, menemui beberapa senjata api, tiga pisau lipat dan peluru.

“Penemuan itu mendorong Perkhidmatan Rahsia menjalankan siasatan lanjut dan lelaki terbabit ditahan kerana memiliki pelbagai senjata api.

“Dia turut menjalani penilaian mental sebelum dihantar ke balai polis untuk siasatan lanjut,” kata kenyataan itu. – WD MY