IPOH, 7 Sept – MATI…. Lelaki berusia 44 tahun ditemui mati dengan kesan kecederaan di bahagian perut dipercayai ditikam di hadapan sebuah kedai di Jalan Meru Bistari A9, Meru Raya.

Mangsa dikenali sebagai A R R Rajeswaran ditemui oleh orang awam pada jam 7.15 malam tadi.

Sebilah pisau berukuran 0.3 meter turut ditemui berhampiran mayat mangsa.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Sum Chang Keong yang ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

Katanya, mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh untuk bedah siasat.

“Siasatan masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya. – WD MY