KUALA LUMPUR, 17 FEB – MAAF….. Lelaki yang mendakwa dirinya antara individu terbabit dalam membuat tuduhan Misha Omar menggunakan sihir ketika bersaing pada Anugerah Juara Lagu (AJL) 33 memohon maaf atas tindakannya.

Dakwa lelaki berusia 27 tahun itu, dia memuat naik status di Twitter gara-gara terlalu beremosi apabila penyanyi kesayangannya tidak meraih sebarang kemenangan pada acara berkenaan.

“Jauh di sudut hati, saya ingin memohon maaf kepada Misha atas kekhilafan saya.

“Memang salah saya bertindak mengikut perasaan ketika itu. Apatah lagi status terbabit dibuat gara-gara membaca status orang lain yang menyatakan, kononnya Misha menggunakan sihir untuk menang,” katanya kepada media tempatan.

Jumaat lalu, Misha pada sebuah sidang media memberi peringatan kepada beberapa individu yang menuduhnya menggunakan sihir untuk bersemuka dengannya dalam tempoh tujuh hari atau berdepan tindakan susulan.

Kata penyanyi Sampai Bila itu, penyebaran status di laman Twitter yang mengaitkannya dengan perbuatan khurafat mencalarkan reputasi dirinya dan kerja keras sepanjang 17 tahun dalam bidang seni suara.

Sidang media itu turut disertai dua peguamnya daripada firma Amelda Fuad Abi & Aidil, iaitu Abi Mursyidin Awal dan Ahmad Fuad Hasim.

Misha berkata, komen keterlaluan itu sengaja dicetuskan pihak tertentu susulan kejayaannya pada malam kemuncak AJL 33 yang berlangsung 3 Februari lalu.

Dalam pada itu, Misha memaklumkan dia sudah membuat dua laporan polis, masing-masing di Balai Polis Kota Damansara dan Balai Polis Salak Selatan.

Sementara itu, lelaki terbabit mendakwa sedang berusaha untuk bersemuka dengan Misha bagi membuat permohonan maaf.

“Insya-Allah, saya akan bersemuka dengan Misha dalam masa terdekat. Apa yang berlaku adalah satu pengajaran yang sangat besar buat saya,” katanya. – WD MY