PETALING JAYA, 20 Jan – Tahan…..  Seorang lelaki ditahan bagi membantu
siasatan kes sekumpulan individu membelasah seorang pemandu lori di tempat letak
kereta kondominium Puncak Anthenaneum, Bukit Antarabangsa dekat sini, Sabtu
lepas.
Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar bagaimanapun tidak mendedahkan
butiran dan lokasi suspek lelaki itu ditahan.

 “Saya telah mengarahkan Ketua Polis Daerah Ampang untuk mengesan saki-baki
mereka yang terlibat memukul pemandu lori berkenaaan untuk ditangkap dan
dimasukkan ke dalam lokap.

“Kami tidak boleh biarkan perkara sebegini berlaku lagi seolah-olah tidak
ada undang-undang di negara kita ini,” katanya dalam sidang media selepas
Pelancaran Op Selamat 10/2017 sempena Tahun Baharu Cina di Persada Plus, di
sini, hari ini.
Beliau turut menafikan terdapat orang kenamaan bergelar ‘Datuk’ terlibat
dalam kes itu.

“VIP (orang kenamaan) tidak terlibat…yang terlibat adalah pemandu yang
dibelasah itu. Jangan sebut VIP, Datuk atau mana-mana menteri yang terlibat dan
tidak perlu hendak kaitkan dengan orang lain pula,” katanya.

 Khalid turut menggesa mereka yang terlibat dalam kes itu agar menyerah diri
di Balai Polis Ampang bagi membantu siasatan.
“Sekiranya mereka tidak serah diri, tunggulah kami datang ke rumah mereka.
Kita kenal siapa mereka,” katanya. – WD MY