JOHOR BAHRU, 26 Jun – Di dakwa……..Seorang peniaga ayam dan susu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas dua tuduhan menipu dengan menyamar sebagai sami dan Setiausaha Sultan Johor yang membabitkan kerugian berjumlah RM778,300.

Tertuduh, S Surain Naidu, 27, mengaku tidak bersalah terhadap dua tuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Noor Aisyah Ahmad.

Bagi pertuduhan pertama, tertuduh yang beralamat di Taman Air Biru, Pasir Gudang didakwa dengan curang memperdayakan V Rajkumar, 58, supaya mempercayai dirinya sebagai sami bagi mendorong menyerahkan wang tunai dan barangan kemas bernilai RM725,500.

Surain didakwa meminta Rajkumar menyerahkan RM559,000 dan barangan kemas bernilai RM166,000 untuk melakukan upacara sembahyang bagi mengelak kejadian buruk berlaku kepada keluarga berkenaan.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu pada awal November 2011 hingga 7 April 2012 pada jam 8 malam di premis beralamat No 18, Jalan Undan 3, Taman Perling di sini.

Mengikut pertuduhan kedua, Surain yang turut berniaga susu didakwa dengan niat curang memperdayakan M Sugumaran, 20, dengan menyamar sebagai Setiausaha Sultan Johor di sebuah restoran makanan segera di Taman Puteri Wangsa, Ulu Tiram, pada jam 11 pagi, 12 Mei lalu, kononnya akan membantu membebaskan bapa lelaki itu dari penjara.

Tertuduh didakwa mendorong mangsa menyerahkan wang RM52,800 kepadanya secara tunai dan bayaran itu tidak akan diberikan jika mangsa tidak diperdayakan dengan cara penyamaran.

Pendakwaan kes dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Asmah Zainal Ariffin, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Noor Aisyah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan tiga penjamin dan sebutan semula kes pada 26 Julai ini. – WD MY

LEAVE A REPLY