JOHOR BAHRU, 22 Ogos – Tahan…. Pihak Polis menahan seorang lelaki selepas dipercayai memuat naik kenyataan jelik terhadap Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan Institusi Diraja Johor di laman sosial Facebook (FB).

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd, berkata suspek berusia 30 tahun itu ditahan pada jam 1.30 tengah hari semalam, di Maran, Pahang.

Suspek yang juga peniaga ditahan dengan bantuan polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Maran susulan laporan diterima pihaknya berkaitan dengan penyalahgunaan laman media sosial itu, pada jam 9 malam, Khamis lalu.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia, yang membawa hukuman denda sehingga RM50,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

“Selain itu, boleh didenda selanjutnya bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan,” katanya.

Mohd Khalil berkata, pihaknya tidak teragak-agak mengambil tindakan tegas terhadap sesiapa sahaja yang didapati menyalahgunakan media sosial dengan mengeluarkan kenyataan yang menyakitkan hati, menjelikkan, mengugut serta mengganggu sensitiviti orang lain.

“Pengguna media sosial dinasihatkan supaya lebih berhemah ketika menggunakan kemudahan terbabit. Individu yang didapati menyalahgunakan media sosial akan didakwa mengikut undang-undang,” katanya. – WD MY