DUNGUN, 28 APRIL – MAUT….“Saya rasa tidak sedap hati selepas dia tidak pulang ke rumah kongsi untuk makan tengah hari lalu segera masuk ke hutan mencarinya.

“Alangkah terkejut saya apabila menemui Suarno dalam keadaan dihempap balak, berlumuran darah dan sudah tidak bernyawa.”

Demikian kata Yazid Abdullah, 45, selepas rakannya, Suarno Ibrahim, 54, ditemui maut ditimpa pokok balak yang ditebang dalam kawasan hutan dekat Kampung Pasir Raja, di sini, kira-kira jam 12 tengah hari tadi.

Katanya, Suarno yang berasal dari Bukit Setongkol, Kuantan, Pahang, baru tiga minggu bekerja sebagai penebang balak.

“Sebelum ini dia (arwah) akan bersama saya untuk menjalankan kerja menebang balak dan hari ini dia pergi menebang sendirian tanpa ditemani saya.

“Secara kebetulan hari ini sebuah jentera rosak dan saya membaiki jentera itu. Mungkin dia lihat saya sibuk lalu pergi menebang balak bersendirian,” katanya.

Yazid berkata, sebaik menemui mayat Suarno, dia segera kembali ke rumah kongsi dan meminta seorang rakan membuat laporan polis mengenai kejadian itu.

Sementara itu, Ketua Zon II Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Al Muktaffi Billah Shah, Azmi Ab Rahim ketika dihubungi berkata, pihaknya menerima laporan kecemasan pada jam 3.27 petang sebelum enam anggota balai bomba berkenaan ke lokasi.

“Kami mengambil masa satu jam untuk tiba di lokasi kejadian berikutan terpaksa meredah laluan berliku dan sebaik tiba, mangsa sudah meninggal akibat parah di kepala. Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharuddin Abdullah ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

“Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Dungun, kira-kira jam 8 malam tadi untuk siasatan lanjut dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya. – WD MY