JOHOR BAHRU, 5 April – Maut….. Lelaki┬ámaut, manakala isteri dan dua anaknya cedera selepas kereta yang dinaiki mereka terbabas ke parit besar di Taman Bestari Indah, Ulu Tiram, Johor dekat sini awal pagi tadi.

Syamsuddin Ab Samad, 40, yang bekerja kilang memandu PERODUA Kenari dipercayai terbabas ke dalam parit besar di kawasan berkenaan dalam kejadian kira-kira 1 pagi tadi.

Dalam kejadian itu, isterinya, Arbayah Jais, 30 cedera di pinggang, manakala dua anak mereka, Muhammad Haikal,12 dan Noraisyah Dania, 9 masing masing cedera di dahi dan dagu.

Mangsa dan keluarganya dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Taman Bestari Indah selepas makan bersama di luar.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Jokhiri Abd Aziz, berkata kereta dinaiki empat sekeluarga itu dalam perjalanan pulang ke rumah di Jalan Bestari 17/3 Taman Bestari Indah.

“Setibanya di selekoh Jalan Bestari 8/3, mangsa dipercayai hilang kawalan dan terbabas ke kiri jalan lalu melanggar pagar lalu terjunam ke dalam parit besar dalam kedudukan ke empat-empat tayar ke atas.

“Sepasukan bomba dari Balai Bomba Johor Jaya yang tiba di tempat kejadian berjaya membawa keluar isteri dan anak mangsa yang duduk di bahagian depan dan belakang, manakala usaha membawa keluar pemandu kereta sukar kerana kedudukannya yang tersepit dan air parit memenuhi ruang pemandu.

“Pemandu berjaya dikeluarkan tetapi disahkan meninggal dunia,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Katanya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih diteruskan. – WD MY