KUANTAN, 16 NOV – MAUT….. Mayat seorang lelaki dipercayai terkena renjatan elektrik ditemui di kawasan lapang berhampiran bekas lombong bauksit di Jalan Kuantan – Kemaman, di sini petang tadi.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali, berkata mayat mangsa ditemui orang ramai yang kebetulan menggunakan laluan berkenaan kira-kira jam 3 petang semalam.

“Pihak kami menerima laporan mengenai penemuan mayat mangsa jam 3.15 petang. Bertindak atas maklumat itu, sepasukan anggota Balai Polis Beserah bersama pegawai forensik dihantar ke lokasi kejadian untuk siasatan lanjut.

“Hasil siasatan awal mendapati mang yang berusia 28 tahun itu dipercayai maut akibat terkena renjatan elektrik dari kabel yang ditemui di lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi.

Mohamad Noor memaklumkan pihaknya turut menemui kereta dipercayai digunakan mangsa untuk ke lokasi berkenaan dan pemeriksaan dijalankan mendapati kereta itu didaftarkan atas nama ibu mangsa.

Katanya, mayat mangsa kemudian dihantar ke Unit Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk bedah siasat.

“Hasil siasatan mendapati tidak ada sebarang unsur jenayah dalam kes ini. Kita mengklasifikasikan kes ini sebagai kematian mengejut (SDR),” katanya. – WD MY