KUALA LUMPUR, 6 MAC – TAHAN….. Menghina Islam, Nabi Muhammad SAW dan isteri Baginda, Saidatina Aisyah di media sosial menggunakan nama ‘Alvin Chow’ ditahan polis, hari ini.

Lelaki berusia 43 tahun itu ditahan dalam serbuan oleh Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor di sebuah pusat beli-belah Plaza Pudu, di sini, kira-kira jam 5 petang tadi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata, suspek ditahan berdasarkan maklumat dan risikan yang dijalankan sejak beberapa hari lalu.

“Suspek yang dikesan tinggal di Danau Kota, Jalan Genting Klang itu dikehendaki polis berikutan laporan yang dibuat terhadapnya kerana melakukan penghinaan ke atas agama Islam, Nabi Muhammad SAW dan isterinya.

“Dalam tangkapan berkenaan, pihak polis turut merampas telefon bimbit milik suspek untuk siasatan lanjut,” katanya hari ini.

Difahamkan siasatan terhadap lelaki itu dibuat mengikut Seksyen 232 SKMM kerana memberi komen jelik dan Seksyen 298A Kanun Keseksaan memperuntukkan kesalahan atas alasan agama yang menyebabkan suasana tidak harmoni, perpecahan atau permusuhan, benci membenci atau niat jahat atau memudaratkan pemeliharaan keadaan harmoni atau perpaduan.

Berdasarkan maklumat, suspek sama turut dikesan mempunyai empat rekod jenayah lampau serta rekod dikehendaki polis, namun butiran rekod berkenaan sedang diperoleh.

Siasatan itu dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), JSJ Bukit Aman.

Semalam, Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun menerusi satu kenyataan memaklumkan polis menerima 929 laporan dan membuka 16 kertas siasatan berhubung individu yang menghina agama Islam, Nabi Muhammad SAW dan isteri baginda, Saidatina Aisyah.

Katanya, polis sudah mengambil tindakan dengan menahan serta mengambil keterangan tiga individu dan masih memburu seorang lagi.

Antara individu yang ditahan adalah lelaki menggunakan nama Bakakuk atau nama sebenar Mohd Shahrulnizam Stanley Sigan, 29, pada Ahad lalu di Labuan dan kini direman hingga hari ini.

Individu lain adalah pemilik akaun Facebook Ayea Yea dikenal pasti milik Alister Anak Cogia yang ditahan di Bau, Sarawak, Isnin lalu dan direman hingga hari ini.

Manakala, individu ketiga ditahan di Petaling Jaya, Isnin lalu adalah pemilik akaun Facebook menggunakan nama Yazid Kong atau nama sebenarnya Mohd Yazid Kong Abdullah, 52, dan direman Selasa lalu. – WD MY