Lelaki Rogol Dan Samun Pelajar IPT Ditahan Di Klang

0
134

SHAH ALAM, 3 Nov – TAHAN….. Pihak Polis menahan seorang pemandu di Pelabuhan Klang, awal pagi tadi, selepas dipercayai merogol seorang pelajar Institut Pengajian Tinggi (IPT), di sini, Rabu lalu.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Shafien Mamat, berkata suspek berusia 27 tahun itu ditahan di rumah keluarganya di Pelabuhan Klang, kira-kira jam 4 pagi tadi.

Suspek yang baru berkahwin itu mula bekerja sebagai pemandu Grabcar awal bulan lalu dan berdepan masalah kewangan.

“Ketika ditahan, suspek sedang tidur dan tidak dapat melarikan diri kerana sudah dikepung.

“Polis turut merampas sehelai baju hitam, jeans biru, pisau, kasut merah, telefon bimbit Samsung J2 milik mangsa serta Proton Saga dipercayai digunakan ketika melakukan jenayah berkenaan,” katanya hari ini.

Shafien berkata, hasil siasatan, suspek didapati mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan kesalahan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan (KK) kerana pecah masuk rumah.

“Siasatan juga mendapati suspek melakukan jenayah terhadap mangsa secara berseorangan.

“Dia kini ditahan reman seminggu bermula hari ini. Kes disiasat mengikut Seksyen 376 KK kerana merogol dan Seksyen 392/397 KK kerana samun bersenjata,” katanya.

Semalam, seorang gadis berusia 22 tahun dirogol dan disamun selepas diperdaya oleh seorang lelaki yang berpura-pura bertanya arah.

Kejadian berlaku kira-kira jam 8.30 malam, apabila mangsa baru pulang dari pasar malam di Seksyen 7, di sini dan menghala ke sebuah hentian bas, sebelum didatangi suspek.

Suspek kemudian mengacukan pisau dan menarik mangsa ke dalam kereta dan menghala ke kawasan kilang berhampiran sebelum merogol mangsa dan merampas wang tunai RM100 serta telefon bimbit milik mangsa. – WD MY