KUALA TERENGGANU, 21 MAC – ROSAKKAN….. Tidak cukup merosakkan dan membakar barangan, seorang buruh turut mengugut mahu membunuh ahli keluarganya di sebuah rumah di Chendering, semalam.

Kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 7 pagi apabila lelaki berusia 26 tahun itu tiba-tiba mengamuk dengan membaling barang keluar dari rumah.

Sumber berkata, suspek yang bersenjatakan sebilah parang turut mengugut mahu membunuh ahli keluarganya yang berada di rumah.

Katanya, suspek kemudian masuk ke dalam bilik sebelum bertindak membakar barang-barang dan beberapa dokumen yang ada.

“Ibu suspek berusia 47 tahun memaklumkan suspek selalu mengatakan mahu membakar rumah sekiranya mengamuk.

“Melihat keadaan suspek yang semakin tidak terkawal, ibu suspek mendapatkan bantuan abang iparnya bagi memaklumkan kejadian itu polis.

“Susulan laporan diterima, polis bergegas ke lokasi kejadian sebelum menahan suspek di rumahnya kira-kira jam 10.30 pagi hari sama,” katanya.

Sementara itu, Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Sesyen/ Majistret Kuala Terengganu, Noradila Ab Latiff, membenarkan suspek direman empat hari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan (KK) kerana melakukan ugutan jenayah dan Seksyen 427 KK kerana melakukan khianat. – WD MY