KUCHING, 25 Jan – TUMPAS…. Seorang lelaki yang kerap samun bersenjata api di Melaka dan melarikan diri ke Sarawak  serta disyaki melakukan kegiatan sama, di negeri ini pula.

Suspek berusia 26 tahun yang berasal dari Melaka itu bagaimanapun ditahan polis pada 11 Januari lalu, kerana disyaki terbabit dalam sekurang-kurangnya tiga kes samun bersenjata api di Kota Samarahan dan Kuching.

Semalam, selepas disoal siasat sejak penahanannya dua minggu lalu, suspek membawa polis ke rumah sewanya di Riveria Bay, Kota Samarahan dan menunjukkan lokasi sepucuk pistol bersama kelopak peluru yang disoroknya di siling rumah berkenaan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak, Datuk Dev Kumar, berkata suspek ditahan di sebuah pusat beli-belah di Kuching pada jam 12.55 tengah hari, oleh sepasukan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak, 11 Januari lalu.

Beliau berkata, pistol angin yang ditemui pada jam 1.40 tengah hari semalam dipercayai digunakan suspek dalam beberapa siri samun, bulan lalu dan awal bulan ini.

“Pemeriksaan lanjut mendapati senjata berkenaan menyamai pistol automatik selain polis menemui pelbagai barangan yang dipercayai hasil samun,” katanya.

Mengulas lanjut beliau berkata, pada jam 9.10 pagi, 10 Disember lalu, suspek memecah masuk sebuah pusat agama di Jalan Tun Abang Haji Openg di Kuching dan melarikan beg tangan kakitangan wanita berusia 66 tahun yang mengandungi wang tunai RM500 bersama dokumen peribadi dan kunci.

Lapan hari kemudian iaitu pada jam 3 pagi 18 Disember lalu, suspek meneruskan kegiatannya dengan memecah masuk rumah seorang wanita berusia 35 tahun menerusi cermin bilik tidur apartmen di Riveria Bay, Kota Samarahan dan melarikan wang tunai RM100 sebelum mengikat mangsa kerana tidak berpuas hati dengan jumlah wang yang diserahkan kepadanya.

“Suspek seterusnya memecah masuk sebuah tadika di Stutong pada jam 8 malam, 4 Januari lalu sebelum melarikan dua telefon bimbit milik pekerja premis berkenaan,” katanya.

Dev berkata, berdasarkan laporan yang diterima daripada semua mangsa, polis percaya suspek turut melakukan beberapa lagi kes sama sebelum ini.

Beliau berkata, suspek kini direman sehingga 29 Januari ini untuk siasatan lanjut atas kesalahan samun menggunakan senjata api. – WD MY