GEORGE TOWN, 25 April – TEMBAK…. Lelaki ditemui terbaring berlumuran darah di lantai bilik dengan kesan tembakan di bahagian dada, dipercayai menembak diri sendiri, di rumah sewanya ​​​​​di Lengkok Merbah 1, Bayan Lepas, semalam.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Supt A.A Anbalagan berkata mayat mangsa, S.Kumaravelu, 38, ditemui oleh adik lelakinya berusia 33 tahun yang datang ke rumah mangsa kira-kira jam 2.30 petang untuk melihat keadaan abangnya selepas gagal menghubunginya.

“Adik mangsa mendapati pintu dan pagar rumah itu berkunci dan meminta bantuan tukang kunci untuk membukanya sebelum mendapati abangnya meninggal dunia dalam keadaan berlumuran darah di atas lantai sebuah bilik manakala terdapat sepucuk pistoL di atas katil berhampiran,” katanya.

Katanya, siasatan awal mendapati kejadian itu tiada unsur jenayah dan mangsa dipercayai telah menembak dirinya sendiri.

Beliau berkata polis masih menyiasat motif kejadian dan bagaimana mangsa, yang memiliki dua rekod jenayah lampau berkaitan dadah,  memperoleh pistol berkenaan.

Katanya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk dibedah siasat.

Beliau turut meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu supaya ​​​​​​​menghubungi balai polis berdekatan bagi membantu siasatan. – WD MY