GEORGETOWN, 20 MAC – BUNUH… Lelaki warga Amerika Syarikat (AS) ditahan selepas dipercayai membunuh isterinya di kediaman keluarganya di Island Glade, Jelutong di sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian jam 5 pagi itu, mangsa yang juga suri rumah, Chin Geok Heong, 60, maut ketika dalam perjalanan ke Hospital Pulau Pinang (HPP) dekat sini, akibat lemas dan sakit jantung.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Che Zaimani Che Awang, berkata suspek berusia 62 tahun itu dipercayai menekup muka mangsa dengan kedua-dua tangannya hingga menyebabkan Geok Cheong lemas.

“Suspek enggan membenarkan mangsa menjalani proses bedah siasat, bagaimanapun keluarganya meminta supaya prosedur itu dijalankan kerana adik si mati memaklumkan kedua-dua mereka bertengkar, kira-kira jam 2.30 pagi (semalam).

“Suspek dan mangsa bertengkar di dalam bilik sebelum adiknya terdengar Geok Heong menjerit. Saksi kemudian mengetuk pintu bilik terbabit dan suspek menjelaskan mangsa menjerit kerana tidak sihat.

“Bagaimanapun, terdapat kesan cakar pada kedua-dua tangan suspek dan lelaki itu memberitahu kecederaan itu berpunca kerana angkat besi dan menumbuk ‘punching bag’ di gimnasium. Suspek sudah ditahan bagi siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan, malam tadi.

Che Zaimani berkata, pasangan suami isteri kelahiran Malaysia yang mendapat kerakyatan AS itu datang ke Pulau Pinang untuk menyambut Tahun Baharu Cina, pada 19 Januari lalu, dan dijadualkan pulang hari ini.

“Suspek tidak mengaku terbabit dengan kes ini dan akan direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh, esok (hari ini). Dia kini ditempatkan di lokap Balai Polis Jalan Patani.

“Kita juga sudah merakam percakapan suspek pada jam 8 malam tadi. Pakar bedah siasat dan Pasukan Forensik HPP sudah ke lokasi kejadian untuk siasatan lanjut, pada jam 5.30 petang tadi.

“Hasil ujian saringan air kencing ke atas suspek yang juga pesara mendapati negatif,” katanya. – WD MY