KUALA LUMPUR, 11 Okt – MAYAT…… Mayat seorang wanita berlumuran darah ditemui di sebuah hotel bajet di Kampung Baru, semalam.

Mayat wanita yang belum dikenal pasti identiti itu ditemui oleh tukang cuci pada jam 1.30 tengah hari.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohd Sukri Kaman, berkata hasil siasatan awal mendapati mangsa memasuki kawasan hotel berkenaan bersama dua orang lelaki dipercayai warga asing.

“Mereka mendaftar masuk di hotel berkenaan kira-kira jam 9 pagi semalam. Selepas itu, mangsa bersama seorang lelaki iaitu suspek utama naik ke bilik sementara suspek kedua pula keluar dari lobi hotel.

“Pada jam 12.55 tengah hari, suspek utama turun dan keluar daripada hotel berkenaan.

“Memandangkan suspek tidak kembali ke bilik, tukang cuci hotel membuka bilik terbabit dan mendapati mangsa terbaring dengan berlumuran darah,” katanya dalam satu kenyataan.

Mohd Sukri berkata, susulan itu, pihaknya menahan seorang suspek berusia 26 tahun, kira-kira jam 4 petang di kawasan Chow Kit, manakala seorang lagi suspek berusia 25 tahun masih bebas.

Beliau berkata, hasil siasatan unit forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur mendapati terdapat kesan luka akibat daripada tikaman di badan mangsa.

“Terdapat kesan luka disebabkan ditikam kemudian dikelar pada bahagian leher kiri mangsa.

“Mayat mangsa di hantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. – WD MY