SELAMA, 23 Nov – MAUT…. Pekerja warga Myanmar maut dihempap tangki dedak ayam di sebuah ladang ternak di Kampung Batu 6, Bukit Bertam di sini, petang semalam.

Kejadian pada jam 6 petang menyebabkan mangsa Maung San Win, 37, maut di lokasi kejadian.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Selama, Mohd Fauzi Razali, berkata pihaknya menerima panggilan pada jam 7 malam.

Katanya, anggota yang tiba di lokasi kejadian memotong besi penyokong tangki bagi mengeluarkan mangsa.

“Mayat mangsa dibawa keluar dari kawasan itu dan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

“Pihak bomba mengambil masa hampir 26 minit untuk mengeluarkan mayat mangsa dengan operasi tamat sepenuhnya pada 7.26 malam,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Selama, Deputi Superintendan Loo Lian Lay, yang dihubungi mengesahkan kejadian itu.

Katanya, mangsa dihempap tangki dedak dan kejadian diklasifikasikan sebagai mati mengejut. – WD MY