ALOR SETAR, 1 April – Seorang lelaki bersenjatakan pistol dipercayai jenis automatik melepaskan beberapa das tembakan rambang ke arah Penjara Alor Setar, di sini, malam tadi.

Kejadian berlaku kira-kira jam 11 malam itu disedari kakitangan bertugas di balai pengawal di pintu hadapan Penjara Alor Setar, sebelum ia dimaklumkan kepada pihak polis.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Senior Asisten Komisioner Mohd Nashir Ya, berkata maklumat awal diterima mendapati seorang lelaki membonceng sebuah motosikal turun dari kenderaan itu dan terus melepaskan beberapa das tembakan ke arah Penjara Alor Setar, yang mengenai balai pengawal dan menara kawalan.

Bagaimanapun, katanya tiada kecederaan di mana-mana pihak berlaku dan siasatan di tempat kejadian oleh polis menemui beberapa kelongsong peluru.

“Buat masa sekarang siasatan lanjut masih dijalankan untuk mengenal pasti motif tembakan terbabit dilepaskan ke arah Penjara Alor Setar, termasuk mengesan identiti suspek.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan bunuh,” katanya. – Sofea Nawar (WD MY)

LEAVE A REPLY