Levi Pekerja Asing Ditanggung Majikan

0
695

PUTRAJAYA, 31 Dis – Bayar….. Berkuat kuasa esok, majikan bertanggungjawab sepenuhnya membayar levi pekerja asing, selain tidak lagi dibenarkan untuk membuat potongan gaji pekerja bagi menampung pembayaran levi.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata perkara itu adalah antara yang terkandung dalam Komitmen Mandatori Majikan (EMC) yang akan dilaksanakan mulai esok.

Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri, berkata EMC bertujuan memastikan majikan bertanggungjawab sepenuhnya terhadap pekerja asing yang digajikan bermula dari peringkat permohonan, penggajian dan hingga pekerja asing itu dihantar pulang ke negara asal.

“Perubahan dasar ini akan meletakkan majikan lebih bertanggungjawab dalam menjaga pekerja mereka, sekali gus mengelakkan isu pekerja asing lari, bertukar sektor secara haram, serta tinggal melebihi tempoh dan menjadi pendatang asing tanpa izin (PATI).

“Selain itu, majikan juga perlu mematuhi Garis Panduan Standard Minimum Penginapan Pekerja Asing yang mana pekerja akan ditempatkan di penginapan yang disediakan oleh majikan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ahmad Zahid berkata, kerajaan juga akan memperkenalkan penggunaan Surat Aku Janji yang menggariskan tanggungjawab dan syarat yang perlu dipatuhi oleh setiap majikan dalam penggajian pekerja asing dalam masa terdekat ini.

“Kerajaan turut mengkaji semula kadar wang cagaran yang dikenakan kepada majikan bagi membawa masuk pekerja asing kerana kadar sedia ada terlalu rendah dan tidak berkesan sebagai langkah pencegahan bagi memastikan majikan menghantar pekerja asing pulang ke negara asal setelah kontrak atau khidmat mereka tidak lagi diperlukan,” katanya. – WD MY