MONACO, 27 MEI – MENANG…. Lewis Hamilton mengukuhkan penguasaan sebagai pendahulu kejuaraan Formula Satu selepas memenangi Grand Prix Monaco sebentar tadi.

Juara dunia lima kali itu berjaya mengatasi saingan sengit daripada pemandu Red Bull Max Verstappen yang melintasi garisan penamat kurang sesaat kemudian, dan berkata dia berjaya menghalang pemandu Belanda itu dengan menampilkan semangat Niki Lauda.

Hamilton menjulang topi keledar merahnya sebagai menghargai juara tiga kali Austria dan pengerusi bukan eksekutif  Mercedes, Lauda yang meninggal dunia Isnin lalu.

Verstappen, yang terbabit dalam kemalangan di laluan pit ketika perlumbaan, jatuh ke tangga keempat selepas dikenakan penalti lima saat. Sebastian Vettel melonjak ke tangga kedua untuk Ferrari dan pemandu Mercedes Valterri Bottas ketiga.

“Ia perlumbaan paling sukar pernah saya lalui,” kata Hamilton. “Saya berjuang dengan semangat Niki. Dia seorang yang berpengaruh dalam pasukan dan kami amat merinduinya.”

Rakan sepasukan Red Bull Verstappen, Piree Gasly di tempat kelima, diikuti Carlos Sainz dari McLaren, Daniil Kvyat dan rakan sepasukan Toro Rosso Alex Albon.

Daniel Ricciardo, pemenang tahun lalu bersama Red Bull, di tempat kesembilan di hadapan Romain Grosjean dari Haas.

Ia adalah kemenangan ketiga Hamilton di Monaco dan ke-77 kariernya, melebarkan jurang ke atas pesaing terdekat kejuaraan, Bottas.

Ia turut melebarkan kemenangan Mercedes musim ini kepada enam perlumbaan, tetapi menamatkan penguasaan satu dua pasukan itu. -WD MY