SEPANG, 1 Okt – PERTAMA…… Lewis Hamilton bangkit daripada sesi latihan bebas yang kurang meyakinkan apabila meraih petak pertama perlumbaan pada petang Ahad hari ini selepas mendominasi sesi kelayakan Grand Prix (GP) Formula Satu (F1) Malaysia PETRONAS hari ini dengan catatan masa terpantas 1 minit 30.076 saat.

Mengakui melalui minggu yang cukup sukar, juara dunia tiga kali itu berkata, pasukan begitu bekerja keras untuk memastikan jentera berada pada prestasi terbaik selepas melihat Ferrari cukup pantas di sesi latihan bebas.

“Memang kami melalui detik yang sukar semalam sehinggakan saya sendiri sukar untuk tidur.

“Kami tahu ada sesuatu yang perlu diperbaiki dan akhirnya ia berjalan lancar pada sesi kelayakan,” katanya.

Ditanya adakah dia mempunyai kelebihan selepas seteru utama dari Ferrari, Sebastian Vettel terpaksa bermula di petak paling belakang selepas berdepan dengan masalah jentera di sesi kelayakan, Hamilton berkata dia hanya mahu memberi fokus kepada diri sendiri.

“Saya tidak tahu apa yang berlaku kepada Vettel tetapi jelas sekali dia cukup pantas pada sesi latihan bebas.

“Kami perlu fokus kepada diri sendiri, memanfaatkan segaa peluang dan berharap meraih keputusan paling baik esok,” katanya.

Hamilton kini mendahului kejuaraan pemandu dengan mengumpul 263 mata meninggalkan Vettel di tangga kedua yang meraih 235 mata.

Untuk rekod ini adalah petak pertama yang keempat berturut-turut dilakukannya sejak 2014 dan kelima selepas kali pertama melakukannya pada 2012.

Hamilton juga melakar rekod peribadi dengan meraih petak pertama buat kali ke-70 dalam kariernya.

Kimi Raikkonen dari Ferrari meraih petak kedua selepas mencatat 1:30.121s manakala Max Verstappen dari Red Bull Racing yang menyambut ulang tahun kelahiran ke-20 hari ini menyambar petak ketiga (1:30.541s).

Rakan sepasukan Verstappen, Daniel Ricciardo meraih petak keempat sementara Vallteri Bottas (Mercedes AMG PETRONAS), kelima.

Perlumbaan sebanyak 56 pusingan akan berlangsung bermula jam 3 petang hari ini. – WD MY