KUALA LUMPUR, FEB 14 – Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, digesa berhenti menjadi ‘burung kakak tua’ dengan mengitar semula pelbagai tuduhan liar, sebaliknya beliau perlu tampil mengemukakan bukti berhubung projek terowong dasar laut yang masih belum dijawab.

LGE sepatutnya menjawab persoalan berkaitan modal berbayar syarikat tujuan khas (SPV) Terowong Dasar Laut Pulau Pinang tidak menepati piawaian ditentukan, iaitu RM381 juta ketika pemberian kontrak oleh kerajaan negeri pada Mac 2013.

Malah LGE turut membuat dakwaan palsu kepada Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, yang boleh mengelirukan rakyat khususnya dengan cubaan sabotaj dengan maklumat yang diperolehi daripada China Railway Construction Corporation International (CRCC).

“Jika soalan demi kepentingan awam seperti ini dikatakan sabotaj, saya rasa ramai ahli DAP ketika ini cuba berbuat demikian (sabotaj) terhadap ekonomi dan pembangunan negara menerusi sesi soal jawab di Parlimen serta pelbagai saluran lain.

“Tiong Lai hanya menjalankan tugasnya yang turut merangkumi bidang logistik dan kemudahan pengangkutan supaya kontroversi melanda CRCC angkara Guan Eng, tidak menjejaskan reputasi syarikat berkenaan dalam menyelesaikan pembinaan projek lain yang dilaksana menerusi kerjasama dengan kerajaan.

“Tindakan sama dibuat bagi memastikan orang ramai tidak menuding jari kepada CRCC, susulan kelewatan menjangkau lima tahun yang berlaku terhadap projek terowong dasar laut Pulau Pinang.

“Kenyataan Guan Eng seakan memberi gambaran keangkuhannya selepas memperlekehkan tanggungjawab memikul amanah kepentingan awam dan ketelusan membabitkan projek kerajaan negeri.” Katanya. – WD MY