KUALA LUMPUR: Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, dicabar mendedahkan maklumat berhubung bayaran tuntutan semula Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) berjumlah RM19.4 bilion yang didakwa ‘dirompak’ pentadbiran terdahulu.

Khairy Jamaluddin (BN-UMNO Rembau) berkata desakan itu dibuat dua kali pada sesi penggulungan Rang Undang-Undang Cukai Barang dan Perkhidmatan (Pemansuhan) 2018, malam tadi.

“Kalau benar berlaku penyelewengan, sesiapa yang bertanggungjawab perlu dibawa ke muka pengadilan.

“Beliau (Guan Eng) tidak dapat memberikan butiran tepat sedangkan ini tuduhan yang serius.

“Kalau ada alasan munasabah, kebenaran ini perlu diberitahu kepada rakyat,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, hari ini.

Terdahulu, Khairy membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul berhubung dakwaan itu.

Katanya, laporan terbabit dibuat supaya siasatan telus dapat dibuat terhadap individu berkaitan, termasuk bekas Menteri Kewangan.

“Siasat semua individu termasuk bekas Menteri Kewangan, pegawai tertinggi dan agensi berkaitan,” katanya.

Khairy juga akan membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) esok dan berharap siasatan pihak berkuasa tidak akan diganggu.

“Kita ingin pastikan nama kerajaan terdahulu yang ditadbir Barisan Nasional (BN) dibersihkan,” katanya.-MY WD