KUALA LUMPUR, OGOS 13: SALAH LAPOR… Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, memohon maaf kepada Dewan Rakyat kerana tersalah lapor mengenai baki dalam Tabung Bayaran Balik Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang diumumkan minggu lalu.

Beliau berkata, jumlah sebenar baki tabung itu adalah RM148.6 juta dan bukannya RM1,486 juta (RM1.48 bilion) seperti dinyatakan.

Dengan itu, katanya, jumlah kekurangan dana dalam Tabung Bayaran Balik GST adalah lebih besar berbanding dilaporkan sebelum ini.

“Jumlah kekurangan dana dalam Tabung Bayaran Balik GST adalah RM19,248 juta (RM19.24 bilion) dan bukannya RM17,911 juta (RM17.91 bilion), ” katanya dalam sesi Penerangan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Ketika membentangkan Rang Undang-Undang Cukai Barang dan Cukai Perkhidmatan 2018 minggu lalu, Guan Eng menyebut baki sedia ada dalam Tabung Bayaran Balik GST adalah RM1.48 bilion.

Beliau dilaporkan berkata, angka itu bermakna kekurangan dana dalam tabung itu adalah RM17.91 bilion.

Guan Eng yang diberi laluan membuat penjelasan oleh Speaker, Datuk Mohamad Ariff Md Yusof, turut berterima kasih kepada Dewan kerana memberinya ruang membetulkan angka berkenaan.

Katanya, kesilapan itu tidak disengajakan oleh pegawainya kerana silap menempatkan titik perpuluhan.

“Saya ingin memohon maaf kepada Tuan Yang Dipertua atas kesilapan ini, akan tetapi adalah lebih baik kami telus, jujur dan berterus-terang dengan Dewan daripada menyembunyikan perkara sebegini seperti kerajaan lalu.

“Tunggakan bayaran balik adalah disebabkan kelemahan aliran tunai Kerajaan Persekutuan akibat kekurangan disiplin fiskal, pembaziran yang berleluasa dan pertambahan hutang yang besar.

“Apa yang dilakukan oleh pentadbiran lama adalah pemalsuan akaun dan penyelewengan tunggakan bayaran balik cukai untuk kegunaan lain atau untuk menutup defisit supaya mereka dapat menunjukkan keadaan lebihan,” katanya.

Guan Eng berkata, rekod Jabatan Kastam DiRaja Malaysia yang disahkan menunjukkan jumlah tunggakan pembayaran bagi tuntutan cukai input GST lebih daripada dua minggu adalah RM19.2 bilion sehingga 31 Mei lalu.

Daripada jumlah tunggakan itu, sejumlah RM9.2 bilion adalah dari 2018, RM6.8 bilion (2017), RM2.8 bilion (2016) dan RM600 juta dari 2015.-MY WD