GEORGETOWN, 26 Mac – TUDUHAN…. Ketua Menteri, Lim Guan Eng, dan ahli perniagaan, Phang Li Koon, memasuki Mahkamah Tinggi Pulau Pinang di sini, pada jam 8.50 pagi tadi bagi memulakan perbicaraan kes rasuah mereka.

Terdahulu, lebih 10 penyokong DAP dilihat berkumpul di pekarangan mahkamah pada hari pertama perbicaraan itu.

Mereka mula berkumpul secara aman seawal jam 7.45 pagi dan membawa kain rentang, selain turut memakai baju bertulis ‘Solidariti Bersama Guan Eng’.

Keadaan lalu lintas berhampiran Mahkamah Tinggi juga perlahan dan dikawal sepenuhnya oleh pasukan polis trafik.

Polis turut menutup pintu pagar utama dan tidak membenarkan orang awam memasuki kawasan mahkamah, kecuali wakil media dan ahli keluarga terdekat Guan Eng dan Li Koon.

Difahamkan, pihak pendakwaan akan mengemukakan pertuduhan baharu terhadap kedua-dua tertuduh hari ini, susulan beberapa pindaan kecil dalam kertas pertuduhan.

Pada 30 Jun 2016, Guan Eng mengaku tidak bersalah terhadap dua pertuduhan rasuah membabitkan penukaran status tanah daripada zon pertanian kepada zon perumahan dan pembelian lot tanah serta sebuah banglo di Jalan Pinhorn di sini, di bawah nilai pasaran.

Bagi dua pertuduhan itu, beliau didakwa mengikut Seksyen 23, Akta SPRM 2009 dan Seksyen 165 Kanun Keseksaan.

Li Koon pula didakwa mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan, yang dibacakan bersama Seksyen 165 kanun sama kerana bersubahat dengan Guan Eng berhubung pembelian banglo itu.