SHAH ALAM, MAC 6: Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim memberi kata dua kepada Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berhubung dakwaan kononya beliau menerima bayaran RM3 juta daripada Konsortiun zenith Construction Sdn Bhd.

Abdul Azeez yang juga merupakan Ahli Parlimen Baling itu meminta Guan Eng membuat permohonan terbuka kepada media serta menarik balik dakwaan yang dilemparkan selain berjanji untuk tidak mengulangi kata-kata fitnah terhadapnya.

“Saya juga meminta Guan Eng menyenaraikan sumber yang diperolehi yang menunjukkan saya menerima wang sogokan RM3 juta.

“Jika gagal menunaikan tuntutan itu dalam masa empat hari, saya akan meneruskan dengan saman fitnah pada minggu hadapan, ” katanya kepada pemberita di Parlimen pada Selasa.

Menurut Abdul Azeez, surat itu telah dihantar ke pejabat dan rumah Guan Eng di Pulau Pinang pada Isnin petang.

Abdul Azeez turut menyentuh sidang media yang diadakan oleh Guan Eng yang menayangkan gambarnya seolah-olah sebagai penjenayah besar dan mempersoalkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang tidak mengambil sebarang tindakan hanya kerana beliau ahli parlimen UMNO.

“Dalam sidang media itu, Guan Eng menyatakan Azeez Rahin Ahli Parlimen ‘UMNO’ Baling bukan kawan kita. Tindakan itu jelas untuk menghasut dan mengelirukan rakyat.

“Saya turut meminta agar tidak mengaitkan parti keramat UMNO, institusi Tabung Haji dan rakyat Baling ke dalam isu ini,” katanya.

Sebelum ini, Zenith Construction melalui peguamnya telah menyatakan kekesalan syarikat teraebut berikutan berlaku salah nama Abdul Azeez dalam isu terowong dasar laut di Pulau Pinang.

Pada 1 Mac lalu, Abdul Azeez yang juga Pengerusi Tabung Haji membuat laporan polis berhubung tuduhan kononya beliau menerima bayaran RM3 juta dan surat tuntutan daripada Zenith Construsction berhubung kerja rundingan berkaitan projek mega itu. – MY WD