KAJANG, 6 Dis – Didakwa…… Lima penduduk Taman Cheras Hartamas di sini, didakwa di Mahkamah Majistret Kajang, hari ini, atas tuduhan menghalang tugas penjawat awam di kawasan projek pemasangan menara Tenaga Nasional Berhad (TNB), pada Ogos lalu.

Mereka yang didakwa adalah peniaga, Liong Chee Chew, 45; pesara Yap Ah Tai, 67; jurujual kereta terpakai, Lam Guan Loong, 34; mekanik, Yim Ah Ming, 52 dan juruprogram, Tan Teck Chye, 44.

Kesemua tertuduh mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan sebaik pertuduhan terhadap mereka dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Fadzilatul Isma Ahmad Refngah.

Berdasarkan kertas pertuduhan, mereka didakwa bersama-sama menghalang penjawat awam menjalankan tugas dengan enggan beredar daripada kawasan berkenaan tanpa alasan munasabah selepas diarahkan pihak polis.

Mereka dituduh melakukan kesalahan itu di kawasan projek pemasangan menara TNB, Jalan Cheras Hartamas 1, Taman Cheras Hartamas, Hutan Simpan Bukit Sungai Puteh, Hulu Langat, di sini, jam 10 pagi, 9 Ogos lalu.

Pendakwaan terhadap mereka dibuat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan, yang boleh dihukum penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Natasha Chin Le Jy, menawarkan ikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin terhadap setiap tertuduh.

Bagaimanapun, peguam M Dinesh, yang mewakili kesemua tertuduh memohon jumlah jaminan dikurangkan dengan alasan anak guamnya memberikan kerjasama kepada pihak polis dan tidak mempunyai rekod lampau.

Mahkamah membenarkan tertuduh, masing-masing diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 25 Januari ini untuk sebutan semula kes. – WD MY