KUALA LUMPUR, 8 SEPT – PANGGIL…. Pihak Polis akan memanggil lima individu termasuk Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran untuk dirakam percakapan susulan laporan polis oleh penceramah bebas, Dr Zakir Naik yang mendakwa mereka memfitnahnya, minggu depan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed, berkata notis pemberitahuan untuk mereka hadir ke Bukit Aman sudah pun diserahkan sejak minggu lepas.

“Kita akan pastikan kesemua mereka akan hadir untuk direkod percakapan minggu depan.

“Ini bagi membolehkan kita melengkapkan kertas siasatan sebelum diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara untuk tindakan selanjutnya,” kata beliau.

Beliau berkata demikian pada majlis Lawatan Kerja Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr Ismail Bakar ke Unit Tindakan Khas (UTK) di Lapang Sasar Briged Pasukan Gerakan Am (PGA) Cheras hari ini.

Pada 16 Ogos lalu, Zakir membuat laporan polis terhadap Kulasegaran serta Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Dalam, M Satees; Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, P Ramasamy dan bekas duta Malaysia, Datuk Dennis Ignatius kerana didakwa memfitnahnya.

Beliau berkata, fitnah berkenaan adalah berdasarkan kenyataan dalam ceramahnya di Kota Bharu, 3 Ogos lalu.

Laporan polis itu dibuat di Balai Polis Komuniti Seksyen 7, Shah Alam, Selangor.

Zakir mendakwa, laporan itu dibuat bagi meminta polis menyiasat semua individu berkenaan mengikut Akta Hasutan 1948 atau mana-mana akta berkaitan fitnah yang dibuat terhadapnya.

Dalam pada itu, Huzir berkata, dua kertas siasatan terhadap Zakir yang disiasat mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan kerana menghina dan menggugat ketenteraman awam sudah diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara.

Siasatan ke atas Zakir dijalankan susulan laporan oleh beberapa pihak berhubung kenyataan kontroversinya mengenai penganut Hindu dan kaum Cina di Malaysia dalam ceramahnya di Kota Bharu pada 3 Ogos lalu itu.

Pada 16 dan 19 Ogos lalu, Zakir hadir ke Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman di sini, untuk direkod percakapan berhubung perkara itu. – WD MY