JOHOR BAHARU, 27 Ogos – Lima laluan utama di daerah ini akan
ditutup selama dua hari bermula Ahad bagi menjayakan sesi raptai penuh dan
upacara perbarisan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri 2015.

Ketua Polis Daerah Johor Baharu Selatan, ACP Sulaiman Salleh berkata, laluan
itu adalah Jalan Skudai (Pantai Lido), Jalan Thompson/Jalan Sungai Chat, susur
turun dari Lingkaran Dalam dan Persimpangan Lot One serta jalan menuju ke Hotel
Thistle.

“Semua jalan ini akan ditutup mulai 6.30 hingga 11.30 pagi pada kedua-dua
hari berkenaan,” katanya dalam sidang media, di sini hari ini.

Menurut Sulaiman, sebagai alternatif pengguna dari Skudai boleh menggunakan
Jalan Tun Razak dan Jalan Lingkaran Dalam untuk ke pusat bandar.

“Untuk memarkir kenderaan, pengguna dibenarkan menggunakan jalan sepanjang
Sungai Chat sehingga Mawar, Pusat Islam dan Masjid Sultan Abu Bakar manakala
peserta perarakan pula boleh meletakkan kenderaan di Jalan Skudai (Pantai Lido
menghala ke Danga Bay),” katanya.

Beliau berkata, perarakan Hari Kebangsaan kali ini bakal diadakan di Dataran
Bandaraya Johor Baharu di sini dan disertai 112 kontijen berkereta.

Polis turut menugaskan seramai 209 anggota untuk mengawal keselamatan
pada hari tersebut. -Sharini Abdulah (WD MY)

LEAVE A REPLY