KUALA LUMPUR, 3 JULAI – LANTIK…. Ketua UMNO Bahagian Batu Pahat, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi dan Ketua UMNO Bahagian Hulu Langat, Datuk Johan Abdul Aziz antara lima nama baharu dilantik sebagai Ahli Majlis Tertinggi (MT) parti itu.

Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa, berkata tiga lagi nama yang dilantik sebagai Ahli MT UMNO ialah Ketua UMNO Bahagian Bagan, Datuk Ir Dr Shaik Hussein Mydin; Ketua UMNO Bahagian Sepanggar, Datuk Yaakub Khan dan Naib Ketua UMNO Bahagian Seputeh, Datuk Mohd Razlan Muhammad Rafii.

Beliau berkata, pelantikan kelima-lima Ahli MT UMNO baharu berkenaan dibuat mengikut arahan Presiden parti, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, selaras Fasal 9.2.8 Perlembagaan UMNO.

“Pelantikan ini berkuat kuasa serta-merta sehingga tempoh Majlis Kerja Tertinggi 2018-2021,” katanya dalam satu kenyataan di sini, sebentar tadi.

Mereka adalah tambahan kepada 25 Ahli MT yang dipilih perwakilan pada pemilihan UMNO 2018, termasuk bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah, Datuk Lokman Noor Adam, Tan Sri Noh Omar, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim dan Datuk Jamil Khir Baharom. – WD MY