PUTRAJAYA 4 April – Seramai 50 pegawai yang menyandang jawatan sensitif di pelbagai kementerian akan ditukarkan sama ada secara dalaman atau ke kementerian lain bermula bulan ini.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa, berkata pegawai berkenaan sudah pun dikenal pasti dan berkhidmat lebih lima tahun di bahagian kementerian termasuk kewangan, perolehan dan kontrak.

“Pegawai yang terbabit bukan disyaki melakukan kesalahan sebaliknya pertukaran dibuat berdasarkan pekeliling sedia ada bagi mengelakkan berlakunya ketirisan.

“Kita tidak mahu kejadian seperti yang berlaku di Kementerian Belia dan Sukan (KBS) baru-baru ini berulang,” katanya kepada media selepas Majlis Penyampaian Sijil Pengiktirafan Bintang Indeks Penarafan Bintang Agensi Sektor Awam 2015-2016 di sini, hari ini.

Sementara itu, Ali berkata, pihaknya akan menerima laporan siasatan audit berhubung kes salah guna kuasa pegawai kanan KBS daripada Jabatan Audit Negara pada akhir bulan ini. – Sofea Nawar (WD MY)

LEAVE A REPLY