KUALA PILAH, 23 Jun – Polis Daerah Kuala Pilah hari ini menahan
lima remaja untuk membantu siasatan berkaitan insiden baling batu ke arah
kenderaan di Jalan Kuala Pilah–Batu Kikir berhampiran Desa Sri Gelugor,
baru-baru ini.

Menurut Ketua Polis Daerah, Supt Azmi Abdul Rahim, kesemua suspek yang
berusia di antara 16 hingga 18 tahun itu ditahan di lokasi berasingan di sekitar
Juasseh.

Jelas beliau, remaja terbabit ditahan susulan satu laporan polis oleh
seorang pemandu di balai polis Batu Kikir sejurus keretanya dibaling dengan
objek keras, dipercayai seketul batu ketika melalui jalan tersebut.

Kejadian berlaku Ahad lepas, bila mangsa memandu disertai isteri dan seorang
anaknya dalam perjalanan dari Kuala Pilah ke Jempol pada kira-kira 9.40 malam.

“Bimbang dengan taktik kejadian yang berunsur jenayah, mangsa tidak berhenti
sebaliknya meneruskan perjalanan menuju ke balai polis Batu Kikir untuk membuat
laporan,” katanya kepada media hari ini.

Azmi berkata, bertindak atas laporan yang dibuat oleh mangsa, sepasukan
polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Pilah telah bergegas ke lokasi
kejadian.

Berdasarkan keterangan saksi, pihak polis berjaya menahan kesemua suspek,
katanya.

Azmi berkata pihak polis turut menerima dua laporan berasingan berkaitan kes
serupa dan siasatan awal mendapati remaja terbabit membaling batu ke kenderaan
di laluan tersebut atas dasar suka-suka.

“Setakat ini tiada unsur jenayah dan kami menafikan ia adalah cubaan
merompak seperti mana yang tersebar di media sosial,” katanya.

Azmi berkata kesemua remaja terbabit ditahan reman sehingga Jumaat ini dan
kes disiasat di bawah Seksyen 336 Kanun Keseksaan. -Suraya Ahmad (WD MY)

LEAVE A REPLY