SUNGAI PETANI, 7 Nov – RENTUNG…….. Lima mangsa yang rentung dalam kebakaran di Kampung Baru Sungai Gelugor di Taman Petani Jaya, di sini, sudah dikenali pasti membabitkan pasangan suami isteri, seorang remaja dan warga emas.

Bagaimanapun status semua mangsa dan identiti sebenar mereka yang terkorban masih belum disahkan.

Seorang lagi mangsa yang melecur dalam kebakaran itu disahkan sebagai warga Indonesia.

Pengarah Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penolong Kanan Pesuruhjaya Bomba Abdul Razak Muda, berkata sehingga kini lima yang maut termasuk pasangan suami isteri dikenali sebagai Mad kholel Tubat, 40 dan Ume, 35.

Tiga lagi mangsa yang rentung ialah remaja lelaki berusia 17 tahun dikenali Misbahul Anwar, warga emas, Tobiyyah, 67 dan Habi, 40.

Berdasarkan maklumat, mayat Mad Kholel dan Ume dikatakan ditemui rentung dalam keadaan bertindih, di bilik belakang dengan mayat Misbahul Anwar pula kira-kira satu meter dari mereka.

Dua lagi mayat iaitu Habi ditemui di bilik depan, manakala Tobiyyah ditemui rentung di pintu hadapan rumah.

Mangsa yang parah akibat melecur 70 peratus anggota badan ditemui di hadapan rumah dikenali sebagai Samsul, 40, juga warga Indonesia.

Abdul Razak berkata sehingga kini punca kebakaran memusnahkan empat rumah sederet itu masih disiasat, namun tidak menolak kemungkinan mangsa terperangkap dan gagal menyelamatkan diri. – WD MY