SUNGAI PETANI, 2 Sept – Pihak polis sedang memburu lima individu
berumur antara 22 hingga 28 tahun yang dipercayai terbabit dalam kejadian
rusuhan antara dua kumpulan kongsi gelap di Taman Bandar Baru dan Taman Kelisa
Emas, Bedong dekat Sungai Petani pada Isnin dan Selasa lepas.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah, ACP Mohd Nashir Ya berkata setakat ini
14 lelaki dari dua kumpulan kongsi gelap telah ditahan.

Beliau berkata rusuhan itu bermula Isnin lepas kira-kira pukul 10.30 malam
dan berlanjutan hingga keesokan hari ini dengan melibatkan lebih 20 individu di
tiga lokasi berbeza di sekitar Bedong.

“Kejadian dipercayai berpunca daripada perselisihan faham yang melibatkan
kedua-dua kumpulan di sebuah kuil Hindu semasa upacara keagamaan sedang
berlangsung.

“Ia berjaya dileraikan oleh polis. Namun pada pukul 10.30 malam Isnin lepas,
15 lelaki kongsi gelap pertama yang bersenjatakan parang telah menyerang
kumpulan kongsi gelap kedua di Taman Bandar Baru sehingga menyebabkan seorang
lelaki cedera parah pada tangan dan bahu kiri akibat ditetak,” katanya pada
sidang media di sini hari ini.

Mohd Nashir berkata mangsa yang berusia sekitar 20-an kini mendapat
rawatan di Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani.

Beliau berkata sekumpulan lelaki kongsi gelap kedua kemudiannya melakukan
serangan balas dengan membakar 11 buah motosikal milik kumpulan pertama di
sebuah ladang kelapa sawit kira-kira lima kilometer dari lokasi kejadian
pertama.

Katanya pada 12 tengah malam Selasa, 12 lelaki dari kumpulan kongsi
gelap pertama menyerang pula rumah seorang anggota kongsi gelap kedua dan
memecahkan gril rumah, mengelar leher anjing, merosakkan motosikal dan cuba
menyerang anggota keluarganya.

“Kita merampas tiga bilah parang, sebilah pedang samurai, sebilah pisau
rambo dan dua batang kayu snuker,” katanya.

Mohd Nashir berkata lapan daripada individu yang ditahan itu direman
sehingga 6 Sept ini manakala enam yang lain direman hingga 7 Sept.

Katanya terdapat suspek yang ditahan mempunyai rekod jenayah lampau bagi kes
pecah rumah dan ordinan darurat.

Beliau berkata kes turut disiasat kerana merusuh, mendatangkan kecederaan,
mendatangkan bencana dengan api dan samun bersenjata.-Sharini Abdulah (WD MY)

LEAVE A REPLY