LANGKAWI, 20 Mac – Terbesar….. Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2017 (LIMA’17) yang akan bermula esok disifatkan sebagai yang terbesar pernah dianjurkan sepanjang tempoh 14 edisi penganjuran temasya dwi-tahunan itu sejak 1991 kata┬áMenteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Hishammuddin berkata selain pertambahan peserta pameran daripada 512 pada edisi lalu berbanding 555 kali ini, jumlah keluasan tapak pameran juga bertambah 15,000 meter persegi kepada 119,209 meter persegi.

“Penyertaan jumlah aset juga menunjukkan peningkatan sangat menggalakkan berbanding edisi lalu…ini menjadikan pameran LIMA’17 yang terbesar pernah dianjurkan setakat ini.

“Selain itu pada edisi kali ini, kita turut menyaksikan pertambahan peserta pameran dari sektor komersial sebanyak 240,” katanya ketika majlis minum petang bersama media di kapal KD Jebat.

Beliau menambah, pihaknya berbangga kerana 25 syarikat besar berkaitan aeroangkasa dan ketenteraan turut mengambil bahagian dalam pameran kali ini.

LIMA’17 berlangsung mulai 20 hingga 25 Mac ini dengan segmen aeroangkasa berlangsung di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC) di Padang Matsirat, manakala segmen maritim pula di Tanjung Malai. – WD MY