LANGKAWI, 19 MAC – TIBA…. Pesawat pengangkut strategik serbaguna Russia, Ilyushin IL-76 tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi (LTAL) di sini, hari ini.

Pesawat empat enjin itu mendarat di LTAL jam 1.45 tengah hari, sekali gus menjadikannya pesawat pertama tiba bagi menyertai Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2019 (LIMA’19) di pulau ini bermula 26 Mac ini.

Pengurus Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB) Langkawi, Jefry Ramli, berkata pesawat pengangkut itu membawa badan pesawat pejuang ringan (LCA), Yakovlev Yak-130 yang belum dipasang.

“Difahamkan Yak-130 iaitu pesawat dua tempat duduk berperanan sebagai pesawat latihan untuk juruterbang tempur adalah antara pesawat yang akan mengadakan persembahan udara pada LIMA’19 nanti.

“Ilyushin IL-76 sendiri turut terbabit untuk pameran statik sepanjang pameran dwitahunan itu berlangsung,” katanya ketika dihubungi.

Jefry berkata, terdapat puluhan pesawat pempamer dijangka tiba ke Langkawi sepanjang minggu ini dengan Ilyushin IL-76 tiba awal untuk memudahkan urusan pemasangan Yak-130.

“Selepas menurunkan peralatan dan kelengkapan serta badan pesawat Yak-130 yang dibawa untuk dipasang oleh kru, Ilyushin IL-76 akan diparkir di kawasan pameran.

“Jadi pengunjung boleh melihat pesawat berkelajuan maksimum 1,037 kilometer sejam (km/j) dan kemampuan membawa sistem persenjataan peluru berpandu udara ke udara serta udara ke darat pada LIMA’19 nanti,” katanya. – WD MY