KUALA LUMPUR, 29 Jun – Dibuka……. Laluan pejalan kaki (linkway) menghubungkan KL Sentral dan Stesen Transit Aliran Massa (MRT) Muzium Negara akan dibuka kepada orang ramai bermula 17 Julai ini.

Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa berkata projek yang hanya menelan belanja RM50 juta itu dan membabitkan pembinaan laluan sepanjang 240 meter berjaya disiapkan enam bulan lebih awal berbanding perancangan awal iaitu 18 bulan.

“(Sebelum ini) ada cadangan untuk bina ‘linkway’ ini dengan gunakan laluan bawah tanah dan sebagainya dengan anggaran kos RM380 juta tetapi selepas mengambil kira pandangan Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB), projek ini berjaya disiapkan dengan kos RM50 juta, iaitu penjimatan kos sekitar RM330 juta,” katanya.

Beliau meninjau laluan pejalan kaki itu di sini hari ini, berkata selain Stesen MRT Muzium Negara dengan KL Sentral, laluan pejalan kaki berhawa dingin itu turut menghubungkan beberapa lokasi lain termasuk Menara CIMB, Hotel Le Meridien, Hotel Hilton serta Platinum Sentral.

Turut hadir Pengarang Urusan Kumpulan MRCB Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din.

 

Ali yang juga Pengerusi MRT Corporation Sdn Bhd berkata laluan pejalan kaki berhawa dingin berkenaan yang sebahagiannya merupakan bawah tanah hanya mengambi masa kira-kira empat minit bagi pengguna untuk berjalan kaki dari KL Sentral ke Stesen MRT Muzium Negara.

Pembukaan laluan pejalan kaki itu dilaksanakan serentak dengan perasmian Fasa 2 jajaran MRT-Sungai Buloh-Kajang (MRT SBK) membabitkan laluan Semantan-Kajang sepanjang 30 km dan 19 stesen yang bakal disempurnakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 17 Julai ini.

Pelancaran Fasa 2 itu sekaligus melengkapkan jajaran SBK sepanjang 51 kilometer yang dijangka memberi manfaat kepada lebih 500,000 penumpang yang menggunakan perkhidmatan itu setiap hari.

Fasa pertama jajaran MRT SBK dari Sungai Buloh ke Semantan, dengan 12 stesen telah mula beroperasi sejak 16 Dis tahun lepas.

Dalam pada itu, Ali berkata kerajaan akan mengkaji kaedah bagi menambah baik KL Sentral yang kini dilihat terlalu padat dengan pengguna.

“Kalau lihat pada kapasitinya adalah untuk 100,000, sekarang dah capai 200,000. Banyak penambahbaikan perlu dibuat.

“Kerajaan akan bincang dengan pihak yang terlibat untuk cari jalan macam mana untuk besarkan lagi stesen atau tambah baik kemudahan yang ada,” katanya. – WD MY