KUALA LUMPUR, 25 Nov – Keputusan mengadakan Perhimpunan Agung UMNO secara tertutup tanpa liputan terbuka kepada media, belum dibawa ke Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO, kata Naib Presiden Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata perkara itu di luar
pengetahuannya, dan beliau akan bertanya mengenainya kepada Setiausaha Agung
UMNO Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

“Beliau (Tengku Adnan) belum bawa lagi perkara itu ke Mesyuarat MT…itu di
luar makluman kami..saya akan tanya beliau,” katanya dalam sidang media selepas
majlis Pemakaian Pangkat Bersekutu Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) kepada
Pemimpin Muda di bawah Kesateria Muda Keselamatan di sini, hari ini.

Semasa ditanya mengenai keputusan MT UMNO semalam berhubung perasmian
mesyuarat perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri parti dirasmikan ketua
masing-masing, Ahmad Zahid berkata anggota MT hanya menghormati permintaan ketua
sayap berkenaan.

Dalam pada itu, Khairy Jamaluddin mengesahkan bahawa sayap parti
memohon kepada MT supaya perasmian mesyuarat dilakukan ketua masing-masing.

“Perasmian ini tidak menjadi perkara yang tertulis dalam Peraturan Mesyuarat
dan Perlembagaan UMNO…ia hanya satu konvensyen. Jadi, untuk tahun ini kita
minta perasmian dibuat oleh ketua-ketua sayap,” katanya.

Beliau turut menegaskan tidak timbul isu menyekat Timbalan Presiden
Tan Sri Muhyiddin Yassin daripada berucap dalam perasmian sayap.

“Tiada niat untuk senyapkan sesiapa. Cuma untuk tahun ini, kita rasa
sesuai jika perasmian sayap dilaksanakan oleh ketua masing-masing,” jelas
beliau.-Faizal Dato Badarudin (WD MY)

LEAVE A REPLY