KUALA LUMPUR, 3 Nov – Penasihat Pembangunan Keusahawanan dan Ikhtisas Wanita di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahrizat Jalil mengumumkan Persidangan Lean In Malaysia 2015 (LISM2015) pada Disember diharap dapat membantu kerajaan mencapai sasaran dasar 30 peratus wanita sebagai pembuat keputusan di peringkat sektor awam dan swasta.

Menurut Shahrizat persidangan itu juga menjadi medan mengumpul maklumat dan cadangan penyelesaian yang boleh membantu kerajaan dalam menambah baik dasar, polisi serta peraturan berkaitan wanita di negara ini.

“Persidangan ini antara lain akan mencungkil kebolehan wanita, meningkatkan keyakinan mereka agar lebih menonjol dan layak dilantik sebagai pembuat keputusan.

“Kita dapati ada wanita di bidang pekerjaan kini kurang menonjol, tidak yakin dengan kebolehan diri sehingga malu menawarkan diri untuk kenaikan pangkat padahal mereka memang layak, juga akan dibincangkan ialah cabaran dan masalah-masalah wanita ini,” katanya.

Shahrizat berkata demikian di sidang media mengumumkan mengenai LISM2015 hari ini.

“Semua cadangan daripada persidangan itu akan disalurkan untuk pertimbangan kerajaan,” kata Shahrizat.

LISM2015 yang dijadual berlangsung pada 5 Dis merupakan persidangan sehari yang menyasarkan penyertaan 600 wanita dan lelaki pelbagai peringkat termasuk pelajar berusia 23 hingga 35 tahun.

Acara itu dianjurkan oleh Lean In.Org, sebuah komuniti dalam talian dan organisasi tidak berasaskan keuntungan khusus untuk membantu semua wanita mencapai impian mereka dan bakal diadakan pada 5 Disember depan di Berjaya Times Square. – Faizal Dato Badarudin (WD MY)

LEAVE A REPLY