SABAK BERNAM, SEPTEMBER 7:KUOTA….Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor membidas kenyataan wakil rakyat Sungai Pelek, Ronnie Liu supaya dikurangkan kuota Bumiputera bagi projek perumahan di negeri ini.

Rizam Ismail yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabak Bernam berkata, kenyataan Liu dilihat bukan sekadar membela pemaju, malah secara jelasnya gagal memahami punca rumah dibina pemaju gagal dijual.

“Persoalan utama mengenai masalah ini bukanlah (rumah) tidak mahu dibeli, tetapi tidak mampu dibeli kerana harganya terlalu tinggi,” katanya menerusi kenyataan, di sini, SEMALAM.

Beliau berkata, tindakan segelintir pemaju yang membina rumah ‘mampu tengok’ memberi gambaran bahawa mereka sengaja tidak memahami keperluan penduduk.

Apa yang mengecewakan, katanya, lebih banyak rumah mewah dan mahal dibina sedangkan keperluan semasa adalah rumah mampu milik.

“Jika dilihat daripada laporan yang dikeluarkan Bank Negara Malaysia sebelum ini, banyak rumah dibina yang akhirnya tidak mampu dibeli rakyat negara ini berikutan faktor berpendapatan rendah.

“Seharusnya, pemaju membina rumah yang sesuai dengan pendapatan rakyat dan bukannya melambakkan rumah mewah dan mahal,” katanya.

Rizam berkata, kuota Bumiputera tidak sepatutnya dijadikan alasan jika pemaju membina rumah mampu milik yang sememangnya menjadi keperluan rakyat di negeri ini.

Katanya, sebagai wakil rakyat daripada parti kerajaan, Liu seharusnya mencari penyelesaian mengenai masalah itu dan bukan mencari jalan mudah menerusi pengurangan kuota.

“Kenyataan yang dikeluarkannya membuktikan beliau hanya melindungi kantung keuntungan pemaju dan mengetepikan kepentingan rakyat,” katanya.

Semalam, akhbar melaporkan Liu ketika ditemui selepas Sidang DUN Selangor, berkata sudah tiba masa untuk kerajaan Selangor mengurangkan kuota Bumiputera bagi projek perumahan negeri berikutan kadar 50 hingga 60 peratus ketika ini, terlalu tinggi.-MY WD