KUALA LUMPUR, 7 JULAI – PERHIMPUNAN…… Pihak Polis akan memanggil Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam berhubung perhimpunan anjuran Sekretariat Suara Rakyat yang tidak mendapat kebenaran.

Perhimpunan berdekatan pusat beli belah Sogo itu diketuai Lokman selaku Pengerusi pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu bagi mendesak Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali meletak jawatan.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohd Fahmi Visuvanathan Abdullah, berkata perhimpunan berlangsung tanpa membuat notis pemakluman kepada polis.

“Tiada sebarang notis diberikan kepada kita untuk perhimpunan itu.

“Siasatan akan dijalankan dan kita akan panggil Lokman bagi merakam keterangan untuk membantu siasatan,” katanya.

Mohd Fahmi berkata, siasatan dibuat mengikut Akta Perhimpunan Aman 2012.

Terdahulu, Lokman memberi ucapan kepada kira-kira 30 peserta himpunan berkaitan isu video lucah yang dikaitkan dengan seorang menteri kabinet, meminta polis menjalankan siasatan dan mendesak menteri terbabit meletak jawatan.

Perhimpunan berlangsung kira-kira 30 minit dalam keadaan aman sebelum beliau bersama pengikutnya bersurai sekitar jam 6 petang.

Seramai enam pegawai dan 34 anggota, termasuk petugas trafik ditugaskan di tempat perhimpunan bagi mengawal keadaan. – WD MY