SHAH ALAM, NOVEMBER 9:LAPORAN POLIS….Presiden Pemantau Malaysia Baharu, Datuk Lokman Noor Adam semalam membuat laporan polis terhadap pelakon Datuk Farid Kamil berhubung dakwaan Farid dalam isu menerima ‘suapan’ kerajaan BN.

Menurut Lokman, dakwaan Farid itu berat, dan perlu segera disiasat polis.

Katanya, Farid juga dilihat membuat dakwaan palsu selain mahu menghina bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isterinya Datin Seri Rosmah Mansor.

“Berdasarkan kenyataan beliau (Farid) ini,  jelas terbukti, beliau telah gagal melaporkan cubaan merasuah dirinya.

“Kegagalan beliau melaporkan perkara yang berlaku lebih setengah tahun lalu merupakan satu kesalahan dibawah Seksyen 25 (1) dan (2)  Akta SPRM 2009.  Sekiranya disabitkan bersalah, Farid boleh didenda tidak lebih RM100,000  atau dipenjara tidak lebih 10 tahun atau kedua-duanya sekali.

“Jadi tidak ada sebab mengapa Farid  tidak melaporkan perbuatan tersebut melainkan kenyataan tersebut direka bagi merosakkan imej bekas Perdana Menteri dan Isteri beliau.  Tiada timbul istilah takut kerana akta perlindungan saksi wujud ketika kejadian dikatakan berlaku dan dia boleh memohon perlindungan saksi,” katanya.

Lokman sebelum itu membuat laporan polis di balai polis Petaling Jaya.

Farid sebelum itu  dalam sebuah video yang dimuat naik dalam Youtube MyFokus Online , semasa program TV al Hijrah jam 10 malam semalam, berjudul “Nak jadi artis ke nak jadi ahli politik?”, berkata  beliau telah cuba dirasuah sebanyak RM 5 juta oleh pihak kerajaan (iaitu kerajaan BN yang berkuasa sebelum 9hb Mei, 2018).

Kata Lokman, berdasarkan kenyataan beliau ini,  jelas terbukti, Farid telah gagal melaporkan cubaan merasuah dirinya.

“Dalam masa yang sama, saya juga membuat laporan ini kerana saya mengesyaki Farid telah menipu di dalam video tersebut kerana ianya jelas bercanggah dengan video terdahulu,” katanya.

Jelasnya, kenapa kini, setelah Najib tidak lagi berkuasa, Farid  menuduh Najib dan Datin Sri Rosmah pula yang bertanggungjawab terhadap apa yang berlaku terhadap dirinya.

“Perkara ini perlu disiasat oleh pihak polis supaya rakyat mengetahui kenyataan mana yang benar. Farid tidak boleh sewenang-wenangnya melontarkan fitnah dan mereka cerita yang tidak wujud.

“Jika Farid tidak menipu, sudah pasti beliau telah melaporkan cubaan merasuah ini kepada pihak SPRM lebih 6 bulan yang lalu dan mendedahkan nama pegawai kerajaan yang telah cuba merasuah beliau bagi pihak bekas Perdana Menteri dan Isterinya,” katanya.-MY WD