SHAH ALAM, 20 Nov – MENINGKAT….. PROTON Holdings Bhd mencatat lonjakan 13 peratus untuk jualan kenderaannya pada Oktober lalu iaitu 5,083 unit berbanding 4,498 unit pada September.

Prestasi jualan itu memperlihatkan kenaikan enam peratus untuk tempoh Januari hingga Oktober, dengan jumlah keseluruhan jualan sebanyak 61,380 unit berbanding 57,734 unit pada tempoh yang sama tahun lalu.

Model Saga dan Persona terus menguasai aliran jualan apabila kedua-duanya menyumbangkan 70 peratus kepada keseluruhan jualan kereta Proton, dengan masing-masing 26,343 unit Saga dan 16,833 unit Persona terjual.

Naib Presiden Jualan & Pemasaran PROTON, Abdul Rashid Musa, berkata kereta Proton juga muncul juara keseluruhan di perlumbaan Sepang 1000km Race 2017.

“Kereta Proton menjadi pilihan utama dalam kalangan pemandu perlumbaan kereta. Seperti yang diketahui umum, ia memiliki ciri-ciri pemanduan dan pengendalian yang sangat baik.

“Selain itu, kereta Proton juga adalah sebuah jenama yang tahan lasak dan boleh dipercayai kerana mampu melalui keadaan melampau di perlumbaan yang memerlukan ketahanan selama sembilan jam.

“Pemandu kami menyatakan bahawa selain kemahiran memandu, ciri-ciri kereta Proton inilah yang memberikan kelebihan kepada pasukan.

Kemampuan pemanduan dan pengendalian yang luar biasa serta prestasi yang konsisten adalah ciri asas yang pelanggan boleh nikmati apabila mereka membeli kereta Proton,” katanya dalam satu kenyataan.

Terkenal sebagai kereta dengan nilai terbaik, Saga terus kekal sebagai model pilihan utama dalam kalangan pemilik Proton.

Dari harga serendah RM35,590.29 untuk varian Standard 1.3L sehingga RM44,342.25 bagi varian Premium CVT 1.3L, model berkenaan menawarkan pemanduan yang hebat, lebih lancar, penggunaan bahan api yang lebih menjimatkan dan mempunyai ciri-ciri moden yang memberikan lebih keselesaan seperti tiga Port USB untuk pengecasan telefon bimbit dan set set audio yang hebat.

Dari segi keselamatan pula, Saga telah dinaiktaraf kepada 4 Bintang oleh ASEAN NCAP dengan varian Premium yang memiliki ciri-ciri seperti ESC, ABS, EBD, kawalan cengkaman, bantuan brek, sistem kawalan cerun, beg udara, ISOFIX dan tambatan atas (top-tether), dengan sensor di seluruh bahagian kereta.

Sementara itu, model Persona yang menerima anugerah sebagai Kereta Kompak Terbaik selepas dilancarkan telah memperlihatkan kenaikan 57.5 peratus sehingga kini, dengan jumlah jualan sebanyak 16,833 unit berbanding 10,687 unit pada tempoh yang sama tahun lalu.

Perubahan yang dilakukan pada Persona generasi baharu itu telah menarik perhatian peminat Proton kerana kereta ini bukan saja mempunyai reka bentuk yang baharu tetapi juga ruang but sebesar 510 liter, menjadikannya pilihan jenis pelanggan.

Selain itu, model Persona juga memberikan kepelbagaian personaliti yang mana ia sesuai untuk pelajar kolej, suri rumah, eksekutif muda, keluarga kecil mahupun bagi mereka yang berjiwa aktif.

Dengan harga bermula dari RM44,831.09, pemilik Persona dapat memiliki kereta yang bertaraf 5 Bintang oleh ASEAN NCAP, dengan sensor di seluruh bahagian kereta, ESC, ABS dengan EBD, Bantuan Brek, Sistem Kawalan Cengkaman dan bantuan kawalan cerun sebagai ciri-ciri standard bagi semua varian. – WD MY