BALING, 13 SEPT – TAHAN….Kehadiran sebuah lori barang yang mencurigakan membongkar cubaan menyeludup daun ketum seberat 2,200 kilogram bernilai lebih RM60,000 dalam kejadian di Jalan Kupang – Grik berhampiran Kamping Seriyek, semalam.

Ketua Polis Daerah Baling, Superitendan Syed Basri Syed Ali, berkata pergerakan lori itu yang dipandu seorang lelaki tempatan berusia 26 tahun dipercayai dalam perjalanan dari Pokok Sena ke Kelantan dikesan anggota kereta peronda polis (MPV) ketika menjalankan rondaan rutin kira-kira jam 4 pagi tadi.

“Anggota MPV berjaya memintas lori berkenaan sebelum mengarahkan pemandunya berhenti untuk pemeriksaan. Hasil pemeriksaan lanjut kemudian membawa kepada penemuan bungkusan plastik hitam mengandungi daun ketum.

“Lelaki berkenaan dipercayai mengambil upah menghantar daun ketum kepada sindiket yang menjalankan kegiatan pengedaran daun ketum di Pantai Timur,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Baling, di sini hari ini.

Syed Basri ketika mengulas lanjut, berkata hasil pemeriksaan lanjut turut mendapati lori berkenaan menggunakan nombor pendaftaran palsu.

“Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenalpasti rangkaian sindiket penyeludupan daun ketum berkenaan.

Pemandu lori terbabit turut direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952,” katanya. – WD MY