BANGI, 14 FEB – LANGGAR….  Lapan kenderaan, termasuk sebuah motosikal, rosak dilanggar sebuah lori tangki dipercayai tiba-tiba bergerak sendiri di sekitar kawasan sebuah stesen minyak di Seksyen 15, malam tadi.

Pemilik salah sebuah kenderaan terbabit, Muhamad Zulazhar Abdul Halim, 31, berkata ketika kejadian kira-kira jam 9 malam itu, beliau berada di dalam sebuah klinik berhampiran.

“Ketika menunggu giliran untuk dirawat di klinik itu, saya terdengar bunyi dentuman.

“Saya bergegas keluar dan terkejut melihat kenderaan di kawasan terbabit dilanggar lori yang bergerak sendiri tanpa pemandu,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, tengah malam tadi.

Muhamad Zulazhar berkata, beliau kemudian melihat pemandu lori itu berusia dalam lingkungan 40-an panik dan terus meluru ke arah kenderaan berat berkenaan untuk memberhentikannya.

“Pemandu lori itu lari sejauh 500 meter sebelum berjaya masuk ke dalam kenderaan berkenaan untuk menarik brek memberhentikannya.

“Pemandu lori itu memaklumkan dia sedang mengisi minyak di stesen minyak berkenaan sebelum kenderaan terbabit tiba-tiba bergerak,” katanya. – WD MY