SEREMBAN,JULAI 11 :LOT BUMIPUTERA…Kerajaan negeri di minta untuk menentukan mekanisme sesuai bagi menangani isu perumahan lot bumiputera yang tidak dapat dijual.

Pengerusi Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda) negeri,  Jenny Wang Lee Peng berkata, pihaknya menghantar kertas cadangan bagi membincangkan lebih mendalam isu tersebut kepada kerajaan negeri.

“Sebelum ini ada mekanisme benarkan pemaju jual lot bumiputera, tapi ia terlalu sedikit dan tidak dapat dipraktikkan dengan berkesan.

“Kami hantar cadangan dan minta pandangan kepada kerajaan negeri dalam menangani isu perumahan lot bumiputera yang terbiar begitu sahaja, kerana tiada pembeli,” katanya selepas sidang media Ekspo Perumahan dan Hartanah Negeri Sembilan di Seremban Prima, semalam.

Menurutnya, kebanyakan rumah yang lebih RM500,000 seperti banglo serta lot komersial sukar dijual menyebabkan pemaju terpaksa menanggung kerugian.

“Ada beberapa lot bumiputera tahun 2012 tidak dapat dijual sehingga kini kerana tiada pembeli, jadi kami berharap isu ini dapat tangani demi kesejahteraan masyarakat.

Jenny berkata, walaupun kerajaan negeri sudah bertukar tampuk pentadbiran, tetapi semua projek perumahan mampu milik masih diteruskan seperti biasa sehinggalah adanya arahan baharu.

“Bagaimanapun, penjualan lot komersial di negeri ini rancak berjalan sejak GST dimansuhkan kepada sifar peratus. Lot perumahan tidak dikenakan caj GST, jadi pembelian dan jualan rumah sekarang semakin baik,” katanya.-MY WD