KUALA LUMPUR, 17 April – Proton Holdings Bhd, syarikat pegangan
Lotus Group, memeterai Perjanjian Usahasama dengan Lotus Group International
Ltd, United Kingdom dan Goldstar Heavy Industrial Co. Ltd., bagi rancangan
pengembangan perniagaan kenderaan Lotus di China.

Kerjasama itu bertujuan untuk mempercepatkan pembangunan kenderaan Lotus
dalam segmen premium sukan di China, memanfaatkan insentif yang ditawarkan oleh
Kerajaan Wilayah Fujian.

Proton dan Lotus Group merupakan anak syarikat DRB-HICOM Bhd.

Menurut kenyataan Proton hari ini, Pengerusinya Tun Dr Mahathir Mohamad
mewakili Proton, Lotus Group diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Jean-Marc
Gales dan Pengerusi Goldstar, Zheng Qianghui menandatangani perjanjian itu.

Ketua Pegawai Eksekutif Proton Datuk Abdul Harith Abdullah berkata
perjanjian itu akan menyaksikan penubuhan sebuah syarikat usahasama bagi tujuan
menjalankan aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) dalam penggunaan
teknologi cekap dan canggih.

Syarikat usahasama itu kemudiannya akan mengeluar dan menjual kenderaan
penumpang jenama Lotus serta menyediakan perkhidmatan selepas jualan berhubung
produknya di China.

“Lotus mengumumkan peningkatan 55 peratus dalam jualan kereta bagi tahun
kewangan 2014/15 berbanding tahun sebelum itu dengan 36 wakil jualan baharu
dilantik pada 2014/15.

“China muncul sebagai pasaran pertumbuhan utama teratas bagi eksport Lotus
dan dijangka berkembang pada kadar yang sangat pantas,” kata Jean-Marc Gales.

Lotus akan terus mengeluarkan rangkaian kereta sports semasanya (Evora,
Exige dan Elise) secara eksklusif di ibu pejabatnya di Hethel, England.

Sementara itu, dalam makluman kepada Bursa Malaysia, DRB-HICOM berkata
syarikat usahasama itu akan dinamakan Goldstar Lotus Automobile Co. Ltd.

Proton Group dan Goldstar masing-masing akan memegang 50 peratus modal
berdaftar.

Berdasarkan pelan perniagaan awal yang dipersetujui bersama dari 2015 hingga
2030, kedua-dua syarikat itu menjangka jumlah pelaburan keseluruhan sebanyak
RMB10 bilion (RM1 = RMB1.71).-Sofea Nawar (WD MY)

LEAVE A REPLY